'Alhamdulillah, saya okay'
Ipoh: "Alhamdulillah, saya semakin okay... cuma kena banyak berehat," kata pendakwah terkenal Datuk Mohd Kazim Elias yang dikejarkan ke wad kecemasan sebuah hospital swasta, di sini, petang semalam.
Mohd Kazim berkata, dia mula berasa pening kepala dan terhuyung-hayang sejak Isnin lalu, tetapi cuba bertahan demi memenuhi komitmen jemputan yang diterima.
"Saya sudah mula rasa macam tak seimbang dan terhuyung-hayang tetapi masih bertahan, boleh mengajar, buat 'FB Live'.
"Esoknya (Selasa) keadaan masih sama dan semakin teruk. Saya rasa macam tidak boleh bertahan ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu program di sebuah stesen televisyen di Kuala Lumpur.
"Saya rasa perlu pergi ke hospital tetapi masih bertahan kerana sudah berjanji untuk hadir (ke program itu)," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pada awalnya dia bercadang pergi ke pusat perubatan di Petaling Jaya, tetapi memilih untuk masuk ke pusat perubatan di Ipoh berikutan rekod perubatan berada di situ.
"Semalam saya rasa pening sampai tidak boleh membuka mata, jadi pelbagai pemeriksaan dibuat untuk melihat sama ada saya terkena strok atau masalah lain.
"Alhamdulillah pemeriksaan doktor mendapati tiada apa-apa. Terima kasih doktor yang merawat," katanya sambil memaklumkan sudah melakukan angiogram dan jantung juga berada dalam keadaan baik.
Menurutnya, laporan doktor memaklumkan berlaku jangkitan di bahagian telinga iaitu 'acute vestibular neuronitis' yang menjadi punca secara tiba-tiba dirinya hilang keseimbangan.
"Sekarang ini apabila bangun sahaja rasa hendak tumbang, saya bercadang mahu berehat di rumah sahaja tetapi buat masa ini doktor menasihati perlu berada di hospital dahulu," katanya.
Katanya, jadual hariannya agak padat dan beliau sepatutnya akan ke Negeri Sembilan, esok serta terdapat rakaman program televisyen selain perlu meninjau Pusat Pendidikan Al-Barakah, hujung minggu ini.
"Tengok keadaan kerana saya seboleh-bolehnya tidak mahu membatalkan (program diatur) dan akan cuba pergi juga kerana sudah beri komitmen dan berjanji dengan orang.
"Saya akan cuba juga penuhi dan kalau tidak dapat selalunya saya akan menggantikan dengan abang saya," katanya.
Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan Mohd Kazim dikejarkan untuk rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta, di sini, petang semalam.
Pembantunya, Mohamad Amin Maula Mohamad Azizi berkata, Mohd Kazim dibawa hospital selepas mengadu penat dan sakit kepala sebaik pulang menghadiri rakaman program televisyen di Kuala Lumpur.